Idea penubuhan sebuah Pusat Pengajian Islam
Sistem Pondok yang dikenali sebagai Madrasah Nurul Taqwa telah dicetuskan oleh Ustaz
Haji Mohd Hafizan Bin Yahya. Sistem pendidikan pondok dapat menumpukan sepenuh
perhatian kepada pendidikan agama bermula dengan soal aqidah, hukum hakam feqah
hinggalah kepada perkara-perkara yang melibatkan soal batiniah yang sukar
dipelajari melalui sistem pendidikan yang ada sekarang. Dengan harapan
tertubuhnya madrasah pengajian Islam ini, akan dapat meninggikan lagi syariat
dan syiar Islam dan dapat mewujudkan perkampungan yang mengamalkan cara hidup
Islam.
Berbekalkan sumbangan sebidang tanah sebagai
tapak Madrasah seluas 27,754 kaki persegi oleh insan dermawan Pn Hajjah
Fathimah Binti Haji Abdullah di Kg. Air Putih, Junjong, Kulim, Kedah maka
Madrasah ini mula dibangunkan. Pembinaannya bermula dengan majlis pecah tanah
dan perletakan batu asas yang telah disempurnakan oleh Tuan Guru Haji Abdul
Rahim Bin Jaafar pada hari Khamis, 12 Rabiul Akhir 1432H bersamaan 17 Mac 2011M.
Madrasah Nurul Taqwa ini dibina berasaskan kepada kewajipan menuntut ilmu, di
mana ilmu adalah penting agar setiap ibadah yang dilakukan memenuhi matlamat
yang sempurna. Madrasah Nurul Taqwa ini telah dirasmikan oleh Al-Allamah Tuan
Guru Haji Salleh Bin Musa pada 26 Rabiul Awwal 1433H bersamaan 19 Febuari
2012M.
InsyaAllah, dengan terbinanya Madrasah ini,
ia akan menjadi sebuah lagi Institusi Pengajian Pondok bagi memenuhi keperluan
bukan sahaja penduduk setempat malah penduduk sekitar Daerah Kulim. Di samping
itu, ia juga dapat menampung keperluan Pusat Pengajian Islam masa kini dan akan
datang.